KURMA : PENCUCI MULUT (4 RESEPI MUDAH)

Kurma sangat sinonim dengan masyarakat Malaysia sebagai pembuka juadah berbuka puasa serta bersahur sejak berzaman lagi. Kurma akan menjadi semakin popular sebaik sahaja bulan Ramadhan tiba. Pelbagai jenis dan saiz kurma yang pelbagai yang akan tersedia di pasaran untuk menjadi pilihan semua lapisan masyarakat Malaysia. Khasiatnya yang tinggi menjadikannya satu pilihan yang sangat bersesuai untuk membekalkan nutrisi yang baik untuk tubuh badan ketika sedang berpuasa.

Diet kurma juga kini semakin menjadi pilihan bagi golongan yang mahu menjaga kesihatan. Bukan sahaja bagi yang mahu menurunkan berat badan, malah turut digunakan sebagai sumber zat yang kaya dengan nutrisi yang mampu membekalkan tenaga dan kecergasan tubuh badan serta organ dalaman. Kini kurma bukan sahaja boleh dimakan terus, tetapi turut dijadikan bahan di dalam resepi-resepi masakan terutamanya manisan atau pencuci mulut.

Di sini kami kongsikan 4 resepi mudah bagi penggemar manisan dan pencuci mulut yang boleh dibuat di dapur rumah anda.

Aiskrim Kurma dan Madu

Bahan-Bahan:

  • 1 tin susu pekat yang sejuk
  • 750ml krim putar
  • 1 sudu kecil serbuk vanila
  • ¼  sudu besar kayu manis
  • 225g kacang badam
  • 100g kacang pistacio
  • 150g kurma, dicincang
  • 60ml sirap kurma

Cara-Cara:

  1. Masukkan susu pekat, krim putar dan serbuk vanila dalam mangkuk pengadun. Pukul semua bahan dengan menggunakan mesin pengadun elektrik.
  2. Pukul sehingga pekat dan berkrim. Selepas itu, masukkan badam, pistacio dan kurma dalam adunan krim.
  3. Tuang separuh campuran adunan ke dalam bekas bersaiz 12cm x 23 cm yang dilapik.
  4. Titiskan sirap kurma di atas adunan krim tersebut dengan rata dan kacau sedikit.
  5. Tutup dulang tersebut dan simpan dalam peti beku. Bekukan selama sekurang-kurangnya 12 jam sehingga mengeras.
  6. Keluarkan dari peti beku dan biat selama 3 minit sebelum mula menghidang.

Kek Badam Kurma

Bahan-Bahan:

  • 300g kurma, dibuang biji dan dicincang kasar
  • 350ml air
  • 3 sudu teh kopi segera
  • 1 sudu teh soda bikarbonat
  • 100g mentega
  • 220g tepung naik sendiri
  • 220g gula perang
  • 100 gram badam, dicincang kasar
  • 4 sudu besar air oren
  • 3 telur
  • 1 sudu teh garam

Cara-Cara:

  1. Panaskan ketuhar hingga 180 ° C .
  2. Buang biji serta hiris kurma, masukkan dalam periuk yang berisi air kopi segera dan satu sudu besar air. Panaskan atas api sederhana besar.
  3. Apabila cecair sudah mendidih, angkat periuk dari api dan masukkan soda bikarbonat. Biarkan larut selama beberapa minit dan kacau dengan berhati-hati. Ketepikan.
  4. Rebus badam dicincang kasar, letakkan dalam mangkuk kecil dan tuangkan air jus oren. Biarkan terendam selama 15 minit.
  5. Dalam mangkuk besar, pukul krim dan gula sehingga ringan dan lembut.
  6. Masukkan tepung naik sendiri, telur (satu demi satu), kacau sehingga adunan menjadi berkrim. Masukkan campuran kurma dan badam yang dicincang dan air jus oren.
  7. Griskan dulang kek menggunakan mentega.
  8. Tuangkan ramuan ke dalam dulang kek dan bakar selama 40 minit, atau sehingga kek sudah masak. Gunakan lidi untuk mengetahui jika kek sudah masak.
  9. Biarkan sejuk selama 10 minit sebelum dihidangkan.

Kurma Milkshake

Bahan-Bahan:

  • 12 biji kurma
  • 2 cawan susu
  • 1 senduk aiskrim vanila

Cara-Cara:

  1. Buang biji kurma dan hiris nipis.
  2. Masukkan kurma ke dalam mesin kisar dan tambahkan 1/2 cawan susu.
  3. Kisar bahan tersebut sehingga menjadi puri.
  4. Masukkan susu yang berlebihan dan aiskrim. Kisar sekali lagi sehingga menjadi susu kocak.
  5. Selepas itu, tuang ke dalam gelas tinggi dan hidangkannya.

Puding Kek Kurma

Bahan- bahan (kek):

  • 250g kurma (dicincang)
  • 1 sudu kecil baking soda
  • 1 sudu kecil garam
  • 1 ½ cawan air mendidih
  • 2 cawan tepung gandum
  • 1 ½ sudu kecil baking powder
  • 2 biji telur
  • 120g mentega (dilembutkan)
  • ¾ cawan gula perang
  • 1 sudu kecil esen vanilla

Bahan-bahan (sos):

  • 1 cawan gula perang
  • 1 ¼ cawan krim
  • ½ sudu kecil esen vanilla
  • 4 sudu besar mentega

Cara-cara:

  1. Gaul kurma cincang dengan baking soda.
  2. Masukkan air mendidih dan biarkan 20 minit.
  3. Dalam mangkuk lain, gaul tepung gandum, garam dan baking powder.
  4. Pukul mentega dan gula perang.
  5. Masukkan telur satu persatu, dan gaul.
  6. Masukkan esen vanilla, dan gaul.
  7. Masukkan adunan tepung, dan gaul.
  8. Masukkan kurma yang direndam, dan gaul.
  9. Tuang ke dalam bekas disapu mentega dan bakar 40 minit pada suhu 180°C.
  10. Untuk membuat sos, cairkan mentega, dan masukkan krim, gula perang dan esen vanilla.
  11. Didihkan hingga pekat.
  12. Tuang sos ke atas kek dan hidangkan.

 

Selamat mencuba dan menjamu selera

Sumber :
Butterkicap.com
Says.com
Pinterest

Similar Posts