MADU : ISLAM vs SAINS

Madu merupakan salah satu manisan yang terkenal diserata dunia. Bukan sahaja sifat manisnya yang nikmat, malah khasiatnya yang tinggi juga menjadi salah satu penyebab yang menjadikannya digemari. Namun begitu, perbahasan berhubung keberkesanannya di dalam  aspek kesihatan masih lagi menjadi keraguan bagi sesetengah pihak. Ada yang mengamalkan pengambilan madu atas dasar makanan sunnah dan ada juga yang meyakini khasiat madu kerana telah terbukti dalam merawat beberapa penyakit.

PANDANGAN MADU DI DALAM ISLAM

Di dalam kitab-kitab hadist, terdapat beberapa hadist berhubung pengamalan madu dalam kehidupan Rasulullah SAW. Salah satunya adalah yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah R.A yang menyatakan bahawa Rasullullah meminati manisan madu :

Dari Aisyah RA, dia berkata; “Rasulullah SAW adalah seorang yang menyukai madu dan juga manis-manisan.” (HR Bukhari)

Malah terdapat juga hadist-hadist yang menggambarkan pengambilan madu mempunyai manfaat bagi tujuan perubatan.

Dari Abu Sa’id r.a: (maksudnya) Ada seorang laki-laki datang kepada Rasulullah saw dan berkata: “Saudara saya sakit perut.” Rasul menjawab: “Beri ia madu!” Kemudian orang itu datang lagi untuk kedua kalinya. Rasul berkata lagi: “Beri ia madu!” Kemudian orang itu datang lagi untuk ketiga kalinya. Rasul berkata lagi: “Beri ia madu!” Kemudian orang itu datang lagi dan berkata: “Telah saya lakukan.” Rasul menjawab: “Maha benar Allah. Perut saudaramu yang berbohong. Beri ia madu!” Setelah itu diberikannya lagi madu kepada saudaranya, dan sembuhlah penyakitnya. (HR Bukhari)

Di dalam hadist lainnya, Rasulullah mengisyaratkan madu sebagai salah satu penawar bagi penyakit:

Dari Ibn Abbas RA berkata; saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “terapi perubatan itu ada tiga cara iaitu, berbekam atau meminum madu atau kay (menempelkan luka dengan besi panas), sedangkan aku melarang umatku berubat dengan kay.” (HR Bukhari)

Hadist-hadist di atas menjadi penguat tambahan bagi ayat suci Al-Quran yang mana telah menempatkan sebuah surah iaitu An-Nahl yang menyebut :

“Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah, “Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu dan tempat-tempat yang dibuat manusia. Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya. Di dalamnya terdapat obat yang menyembuhkan manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang berpikir.” (QS. An-Nahl: 68-69).

Bukti-bukti di atas telah menunjukkan bahawa madu lebah mempunyai khasiat yang manfaat kepada pengamalnya. Malah khasiat tersebut dinyatakan sebelum adanya pembuktian di dalam dunia perubatan moden kini.

MADU DI DALAM PERUBATAN MODEN

Di era perubatan moden masa kini, fakta-fakta saintifik dan kajian-kajian klinikal yang telah terbukti menjadi salah satu hujah bagi menentukan keberkesanan di dalam dunia perubatan. Pelbagai bentuk perubatan moden menjadi alternatif pilihan dalam merawat pelbagai penyakit yang lama malah penyakit-penyakit baharu yang menimpa masyarakat masa kini. Ini kerana perubatan moden telah berjaya dibuktikan keberkesanannya secara saintifik dan ujian klinikal merawat penyakit atau mengurangkan simptom-simptom penyakit tersebut.

Namun begitu, kajian demi kajian masih lagi dijalankan oleh pakar-pakar perubatan. Khususnya kajian berhubung kadar keberhasilan madu di dalam merawat beberapa jenis penyakit serta khasiat-khasiat lain yang terdapat di dalam madu bagi pengamal dalam seharian. Antara kajian yang telah dijalankan ke atas madu di dalam dunia perubatan adalah:

Membantu Merawat Penyakit Kardivaskular

Berdasarkan satu kajian yang dijalankan, madu mampu memberikan impak teraputik yang menghasilkan kesan yang menenangkan terhadap gangguan jantung. Pengambilan madu juga menunjukkan mampu menunjukkan kesan pertahanan jantung seperti Vasodilasi iaitu pelebaran pembuluh darah, menstabilkan Homeostasis Vaskular dan memperbaiki profil lipid.

Menyembuhkan Penyakit Ulser, Gastrik dan Usus

Seperti yang dinyatakan di dalam hadist berkenaan kemampuan madu dalam merawat sakit perut, beberapa kajian telah pun membuktikan kenyataan tersebut melalui kajian klinikal. Di dalam satu tinjauan, menunjukkan keupayaan madu menurunkan perembesan asid gastik dan membantu menyembuhkannya. Selain itu, terdapat juga kajian yang membuktikan kebolehan madu dalam menghalang percambahan sel-sel kanser usus. Madu memberikan kesan apoptotik terhadap sel kanser usus yang bersifat antiproliferative (anti percambahan).

Pelbagai lagi kajian-kajian yang telah membuktikan bahawa pengambilan madu mampu menambahbaik kesihatan tubuh badan manusia. Dakwaan “Madu Sebagai Penawar” bukan sahaja satu dakwaan kosong malah berasas dan telah dibuktikan dengan kajian-kajian moden. Namun begitu, pengamalan madu perlulah bersesuai dan tidak berlebihan sehingga memudharatkan tubuh badan. Dengan pengamalan yang bersesuaian dengan keperluan, manfaat di dalam madu mampu mempertingkatkan kualiti kesihatan tubuh badan.

 

Sumber :

  1. Lusiana Mustinda – detikHealth
  2. BioMed Research International
  3. Gastroprotective Effect of Honey and Bee Pollen – Experimental & Clinical Gastroenterology
  4. Journal of Apiproduct and Apimedical Science

Similar Posts