TURUNKAN BERAT BADAN DENGAN OLIVE OIL

Adakah Minyak Zaitun Menggalakkan Penurunan Berat Badan?

Minyak zaitun adalah minyak yang terhasil daripada proses mengisar buah zaitun dan mengekstrak minyak. Antara penggunaan yang popular adalah dalam masakan, penambah perasa pada roti pada pizza, pasta, dan salad, atau menggunakannya sebagai pencecah.

Beberapa faedah yang paling terkenal dalam pengamalan minyak zaitun termasuk kemampuannya untuk mengurangkan keradangan, menyokong kesihatan jantung, dan menurunkan tekanan darah. Ia mungkin mempunyai kesan antikanker yang berpotensi dan melindungi kesihatan otak.

Namun begitu, adakah pengamalan minyak zaitun berupaya dalam membantu pengamal-pengamalnya menurunkan berat badan? Apakah peranan minyak zaitun dalam menurunkan berat badan? Kali ini kita akan mengulas sama ada minyak zaitun boleh digunakan untuk mempromosikan dan membantu penurunan berat badan.

Kandungan Sebatian Minyak Zaitun

Kebanyakan manfaat dan kaedah pengamalan minyak zaitun diambil dan diperhatikan dalam konteks mengikuti diet Mediterranean.

Corak pemakanan ini dicirikan oleh pengambilan yang banyak buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh, kentang, kekacang, dan beberapa jenis benih tumbuhan. Walaupun diet Mediterranean sering dikaitkan dengan pengambilan ikan, namun sumber lemak utama adalah minyak zaitun, dan ia juga menghadkan pengambilan daging merah dan gula.

Minyak zaitun mengandungi asid lemak tak tepu tunggal (Monounsaturated Fatty Acid – MUFA), yang mempunyai satu ikatan karbon tidak tepu tunggal dalam komposisi kimianya. MUFA kebiasanya bersifat cecair pada suhu bilik.

Satu kajian yang dijalankan selama 4 minggu, mendapati lelaki dengan berat badan berlebihan atau obesiti yang menggantikan lemak tepu dengan lemak tak tepu tunggal dalam diet mereka mengalami penurunan berat badan yang sedikit tetapi ketara, berbanding dengan diet kaya lemak tepu, walaupun tidak ada perubahan besar dalam jumlah pengambilan lemak atau kalori. Penyelidikan yang lebih baharu menunjukkan bahawa MUFA mungkin lebih bermanfaat daripada lemak tepu dalam pemeliharaan berat badan yang sihat.

Diet yang kaya dengan MUFA juga terbukti dapat mencegah kenaikan berat badan dan pengumpulan lemak dalam kajian yang melibatkan haiwan. Tambahan pula, minyak zaitun kaya dengan sumber trigliserida rantai sederhana (MCT), yang telah lama dikaji kerana kemampuannya berperanan dalam penurunan dan pemeliharaan berat badan yang sihat.

MCT adalah trigliserida yang mengandungi asid lemak yang terdiri daripada 6-12 atom karbon. Ia dipecah dengan cepat dan diserap oleh hati anda, di mana ia boleh digunakan untuk tenaga. Satu kajian membandingkan MCT dengan trigliserida rantai panjang, mendapati bahawa MCT menghasilkan pengeluaran hormon pengatur selera makan yang lebih besar seperti peptida YY, yang mendorong perasaan kenyang. Penyelidikan lain menunjukkan bahawa MCT dapat mendorong penurunan berat badan dengan meningkatkan pembakaran kalori dan lemak dalam badan.

Cara Mengamalkan Minyak Zaitun Untuk Menurunkan Berat Badan

Minyak zaitun mungkin berguna untuk menurunkan berat badan, tetapi pengamalannya akan lebih mendatangkan manfaat apabila digunakan dengan cara dan jumlah tertentu.

Walaupun beberapa orang mendakwa bahawa urutan dengan menggunakan minyak zaitun dapat membantu menurunkan berat badan, tidak ada penyelidikan untuk menyokong idea ini. Walaupun begitu, kajian mendapati bahawa urutan seperti itu dapat membantu bayi pramatang menambah berat badan.

Pandangan lain yang popular adalah dengan mencampurkan minyak zaitun dan jus lemon dapat mendorong penurunan berat badan yang cepat. Walau bagaimanapun, ini mungkin kerana ia sering digunakan sebagai pembersihan usus yang biasanya menghasilkan pengambilan kalori yang sangat rendah dan akibatnya kehilangan lemak dan otot.

Namun, pengamalan minyak zaitun yang dimasukkan ke dalam keseluruhan diet yang sihat adalah topik yang berbeza. Terdapat 119 kalori dan 13.5 gram lemak dalam 1 sudu besar (15 mL) minyak zaitun. Ini dapat menambahkan diet kalori dengan cepat, serta adalah lebih baik memasukkan minyak zaitun dalam jumlah yang terhad agar tidak mendorong kenaikan berat badan. Satu tinjauan sistematik terhadap 11 kajian secara rawak mendapati bahawa mengikuti diet yang diperkaya dengan minyak zaitun selama sekurang-kurangnya 12 minggu mengurangkan berat badan lebih banyak daripada mengikuti diet kawalan.

Antara cadangan pengambilan minyak zaitun, ia dapat digunakan sebagai sos salad, dicampurkan ke dalam pasta atau sup, ditambahkan ke pizza atau sayur-sayuran, atau dimasukkan ke dalam makanan panggang.

Kesimpulan

Minyak zaitun adalah sumber lemak tak tepu tunggal dan trigliserida rantaian sederhana, yang kedua-duanya telah terbukti memberikan potensi faedah untuk menurunkan berat badan.

Walaupun terdapat dakwaan bahawa minyak zaitun dapat digunakan sebagai minyak urut atau untuk detoksifikasi, cara paling berkesan untuk menggunakan minyak zaitun untuk menurunkan berat badan adalah memasukkannya ke dalam keseluruhan diet sihat anda sebagai sumber lemak utama.

Perlu diingat bahawa sebilangan kecil minyak zaitun dapat menyumbang sejumlah besar kalori dan jumlah lemak untuk makanan anda. Oleh itu, ia mesti digunakan dalam jumlah yang terhad. Minyak zaitun yang digunakan sebagai sebahagian daripada diet nabati seperti diet Mediterranean dapat memberikan manfaat terbesar dalam jangka panjang.

Sumber : Healthline

Similar Posts